Tiada lagi simpang di setiap kilometer setelah Lebuhraya Pan Borneo siap – JKR Sabah

Tiada lagi simpang di setiap kilometer setelah Lebuhraya Pan Borneo siap – JKR Sabah

Kota Kinabalu: Tiada laluan keluar masuk atau simpang jalan raya dibenarkan dibina di setiap kilometer Lebuhraya Pan Borneo Sabah bermula dari Sindumin ke Kota Kinabalu dan Tuaran apabila projek itu siap nanti.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir Ali Ahmad Hamid, berkata pihaknya tidak membenarkan pembinaan simpang tidak sah atau tanpa kebenaran di sepanjang lebuhraya berkenaan.

Beliau berkata, ia bagi mengelak gangguan terhadap aliran lalu lintas di sepanjang lebuhraya itu nanti sejajar tujuan pembinaannya untuk memastikan aliran lalu lintas bergerak lancar.

Katanya, laluan pusingan balik juga dibina dengan jarak antara empat ke lima kilometer bergantung kepada kesesuaian lokasi.

“Lebuhraya ini adalah laluan berterusan, tiada pusingan dan kalau adapun jarak agak panjang empat atau lima kilometer baru ada pusingan ‘U’ dan akan dikenal pasti terlebih dahulu wajar atau tidak.

“Dengan adanya lebuhraya ini juga tiada lagi jalan masuk ‘illegal’. Jika tidak, ia akan menjejaskan tujuan lebuhraya ini dibina iaitu mengelakkan gangguan aliran lalu lintas.

“Kita berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) berbincang dahulu dengan JKR sebelum meluluskan pembinaan jalan masuk ke setiap projek pembangunan seperti perumahan.

“Bayangkan kalau ada 10 projek perumahan di sesuatu lokasi dan 10 simpang masuk dibina tanpa kebenaran JKR ke Lebuhraya Pan Borneo, aliran trafik pasti akan terganggu,” katanya dalam temubual berkaitan isu jalan raya di Sabah, di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau meminta agar PBT lebih teliti meluluskan pelan pembangunan yang membabitkan jalan masuk ke Lebuhraya Pan Borneo termasuk mendapatkan nasihat JKR.

“Tidak boleh ada simpang ke Lebuhraya Pan Borneo di setiap kilometer kecuali membina ‘service road’, satu laluan masuk dan satu laluan keluar.

“Kita akan syaratkan ini dan ia menjadi tanggungjawab pemaju untuk mematuhinya. Kita tidak mahu ada gangguan aliran lalu lintas di lebuh raya itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, ramai pengguna terutama di sepanjang laluan projek Lebuhraya Pan Borneo di antara Tobobon, Manggatal ke Tuaran merungut berikutan penutupan beberapa persimpangan yang didakwa menjejaskan pergerakan mereka.

Mereka turut merungut mengenai kedudukan pusingan ‘U’ bagi menggantikan persimpangan yang ditutup itu kerana dibina terlalu jauh dari simpang masuk ke kawasan perumahan mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|