RM92 juta dana bantu usahawan di Sabah sejak 2020

Sandakan: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan produktiviti usahawan di Sabah agar lebih berdaya saing seiring tekanan ekonomi semasa.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata usaha itu dilaksanakan dalam pelbagai bentuk termsuk suntikan dana, selain penyediaan latihan dan kemahiran.

Azizah menerima cenderahati daripada pihak MRSM Sandakan.

Katanya, sejak negara dilanda pandemik Covid-19 bermula pada 2020 hingga April tahun ini, lebih RM92 juta pembiayaan diperuntukkan untuk peniaga di negeri ini.

Beliau berkata dana itu disalurkan melalui Program MARA Prihatin: Peace of Mind 4.0 bertujuan meringankan beban peminjam bantuan pelajaran dan pembiayaan perniagaan MARA khususnya kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, program itu menyediakan kemudahan kepada peminjam untuk memperbaiki kredit pinjaman mereka dengan menjadualkan semula bayaran balik terutama bagi peminjam yang mempunyai isu tunggakan bayaran balik yang tinggi.

“Tiga inisiatif kepada peminjam pelajaran ialah penjadualan semula bayaran balik pinjaman yang lebih rendah iaitu RM100 sebulan selama setahun.

“Kedua ialah permohonan pengurangan bayaran balik pinjaman pelajaran MARA kepada mereka yang layak dan ketiga alternatif bayaran balik pinjaman pelajaran melalui e-Pengeluaran KWSP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Peace of Mind 4.0 dan Majlis Apresiasi Usahawan MARA Sabah 2022, di sini, semalam.

Sehubungan itu, Azizah mengesa peminjam MARA agar tidak melepaskan peluang berkenaan bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara sepanjang lebih dua tahun lalu.

Katanya, bagi peminjam pembiayaan perniagaan MARA pula, agensi itu menyediakan kemudahan Program Pemulihan Kredit melalui kaedah penjadualan dan penstrukturan semula bayaran balik atau R&R (Rescheduling & Restructuring).

“Kemudahan ini memberi peluang kedua kepada pelanggan untuk membuat bayaran dengan melanjutkan tempoh biaya sehingga 10 tahun.

“Penjadualan Semula (Rescheduling) bermaksud penyusunan semula bayaran balik ansuran bulanan pembiayaan dalam tempoh tertentu yang ditetapkan oleh MARA sehingga 36 bulan.

“Penstrukturan Semula (Restructuring) pula bermaksud penyusunan semula bayaran balik pembiayaan yang telah ditamatkan perjanjian atas faktor keingkaran atau tamat tempoh perjanjian,” katanya.

Ahli Parlimen Beaufort itu berharap inisiatif berkenaan dapat membantu peminjam mengurangkan komitmen bayaran ansuran agar dapat memperbaiki semula kedudukan kewangan syarikat mereka.

“Malah, melalui inisiatif ini mereka berpeluang menangguhkan tindakan perundangan yang sepatutnya dikenakan terhadap peminjam selain memberi peluang kedua untuk menambah baik kedudukan kredit rating dengan MARA,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai majlis itu, Azizah berkata, MARA melahirkan penghargaan kepada usahawan yang cemerlang dalam membuat bayaran balik dengan menyampaikan Sijil Apresiasi.

Katanya, turut menerima penghargaan ialah penyewa yang berjaya, manakala Sijil Pengiktirafan diberikan kepada usahawan mengikut lima kluster yang ditetapkan Bahagian Pembangunan Usahawan MARA.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|