Tiada lagi isu tiket mahal, penerbangan ditunda selepas ini – PM

Kota Kinabalu: Perbincangan akan dibuat dengan semua pihak berkaitan bagi mengatasi isu kenaikan tiket dan kelewatan penerbangan yang sering dialami penduduk Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi memastikan isu yang sama tidak berulang lagi pada musim perayaan akan datang.

“Kerajaan sentiasa peka dengan keluh kesah Keluarga Malaysia termasuklah isu kenaikan harga tiket penerbangan yang tidak munasabah dan masa penerbangan yang ditunda ketika musim perayaan.

“Justeru, perbincangan akan diadakan dengan pihak-pihak terlibat supaya Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penduduk di Pagalungan, Nabawan kini tidak perlu lagi ke Keningau untuk mendapatkan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas ke Kalimantan, Indonesia.

“Saya mahu berkongsi berita gembira bagi penduduk sekitar Pagalungan, Nabawan yang memerlukan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas.

“Mereka tidak perlu lagi pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau untuk mendapatkan pas berkenaan yang kini didapati di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan,” katanya.

Ismail berkata, urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) juga kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di negeri ini sejajar dengan pendekatan ‘no wrong door policy.

Katanya, kerajaan juga akan menyemak semula Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah.

Semakan itu, katanya sejajar kepentingan kerjasama di antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketatkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|