Kota Kinabalu: Seorang pemandu kereta berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Kayu Madang, Telipok, di sini, lewat malam tadi.
Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari kereta Peugeot, sebaik menyedari sebahagian dari kenderaannya sudah mula terbakar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.16 malam.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera.
“Api berjaya dikawal pada jam 11.45 malam sebelum berjaya dipadam sepenuhnya beberapa minit selepas itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.02 tengah malam.
-Deasoka