Tetapkan tambang maksimum RM500 sehala tangani kenaikan harga tiket penerbangan

Tetapkan tambang maksimum RM500 sehala tangani kenaikan harga tiket penerbangan

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat perlu menetapkan kadar tambang maksimum RM500 bagi penerbangan sehala dalam usaha menangani segera harga tiket kapal terbang yang melambung khususnya pada musim perayaan.

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Tan Sri David Chu, berikutan pelbagai rungutan mengenai kadar tambang penerbangan yang terlalu mahal terutama bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, ketika ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Tan Sri David Chu

Beliau menyifatkan kadar tambang yang sangat tinggi bagi penerbangan domestik berbanding penerbangan antarabangsa yang ditawarkan syarikat penerbangan ketika ini sangat tidak masuk akal dan mengarut.

“Tiket penerbangan sehala bagi kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dijual RM1,900 bagi tempoh sebelum Hari Raya, sedangkan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jakarta dijual jauh lebih murah.

“Semalam saya menempah tiket penerbangan untuk abang saya dari Perth (Australia) – Kuala Lumpur – Kota Kinabalu, harganya kurang daripada RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini mengenai isu tambang penerbangan yang melambung.

Beliau menyokong kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menggesa kerajaan persekutuan campur tangan untuk menurunkan kadar tambang penerbangan.

David menegaskan, jika kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan tidak campur tangan dalam isu itu, ia akan menjejaskan Putrajaya kerana dilihat tidak sensitif dengan masalah yang dihadapi rakyat, khususnya rakyat Sabah yang mahu pulang berhari raya selepas dua tahun terkandas disebabkan pandemik Covid-19.

Katanya, syarikat penerbangan perlu mengakui bahawa harga tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur – Kota Kinabalu – Kuala Lumpur yang kosnya mencecah RM4,000 adalah sesuatu yang gila atau melampau.

David berkata, beliau tidak faham kenapa syarikat penerbangan mengenakan caj tambang terlalu tinggi, sedangkan mereka boleh menawarkan tiket penerbangan antara RM150 hingga RM200 bagi perjalanan sehala Kuala Lumpur – Kota Kinabalu ketika di luar musim perayaan.

“Kementerian Pengangkutan tidak seharusnya berdiam diri kerana Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri bersama pemimpin lain dari Sabah dan Sarawak menyuarakan kehampaan mereka terhadap harga tiket penerbangan yang melambung.

“Kementerian Pengangkutan perlu mengingatkan syarikat penerbangan dan menetapkan had maksimum harga tiket penerbangan domestik atau jika tidak masalah ini akan terus berulang setiap kali menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak tidak seharusnya membayar harga atas kerugian yang dialami syarikat penerbangan ketika pandemik Covid-19.

“Kita faham syarikat penerbangan mahu mendapatkan semula kerugian yang dialami mereka ketika pandemik tetapi rakyat Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dibebani dengan kenaikan harga tiket yang terlalu tinggi.

“Kenaikan yang minima boleh difahami tetapi bukan kenaikan mengarut dan tidak masuk akal sehingga 566 peratus,” katanya.

Selain menurunkan harga tiket, katanya syarikat penerbangan juga perlu menambah lagi jumlah penerbagan ke Sabah.

Jelasnya, dengan menambah lebih banyak penerbangan dengan harga yang berpatutan juga dapat membantu syarikat penerbangan tempatan meningkatkan keuntungan dalam jangka panjang kerana orang ramai akan mengembara sepanjang masa.

Sementara itu, David juga berpendapat mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan Sabah dan Sarawak mewujudkan usahasama membentuk sebuah syarikat penerbangan.

“Jika Sabah dan Sarawak sama-sama memiliki syarikat penerbangan, ia bukan saja membantu rakyat menikmati harga tiket penerbangan yang murah tetapi juga mengembangkan lagi sektor pelancongan dan memastikan syarikat penerbangan tempatan sedia ada berada di landasan yang sewajarnya,” katanya.

Katanya, syarikat penerbangan Sabah-Sarawak juga berpotensi mewujudkan perniagaaan yang baik berikutan pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan.

Tambahnya, jika dilaksanakan, syarikat penerbangan secara usahasama itu boleh menyediakan perkhidmatan di pasaran luas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA).

Ketika ini, katanya kedua-dua kerajaan negeri hanya mengharap belas kasihan syarikat penerbangan tempatan untuk membuka laluan penerbangan baharu.

Sehubungan itu, David menyatakan harapannya agar kedua-dua kerajaan negeri dapat melihat cadangan berkenaan secara serius.

“Jika syarikat penerbangan tempatan ketika ini tidak sensitif, kita jangan buang masa bersama mereka, sebaliknya kita lakukan mengikut cara kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|