Polis giat kesan suspek ganggu, cuba larikan pelajar

Polis giat kesan suspek ganggu, cuba larikan pelajar

Penampang: Polis sedang giat mengerakkan usaha mengesan seorang lelaki yang didakwa terbabit dalam kejadian kacau ganggu dan cubaan melarikan seorang pelajar sekolah menengah yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8(1)(E) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah.

“Polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek dan semua elemen di lapangan bagi memaksimakan tahap keselamatan.

“Pihak polis juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi dan berita tidak sahih,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, ia bagi memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan selain dibimbangi boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat setempat.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menyalurkan kepada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang ditalian 088-723961.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|