Syed Badli lebih sudu dari kuah – Razeef Rakimin

Syed Badli lebih sudu dari kuah – Razeef Rakimin

Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin menyifatkan bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman sebagai seorang yang ‘lebih sudu dari kuah’.

Beliau berkata, kenyataan Syed Badli terhadap Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli sebagai seorang yang obses mengejar jawatan selain mengkritik tindakannya mempersoal audit digital sehingga menyebabkan perubahan keputusan dan kehilangan ribuan undi dilihat sebagai tersilap sasaran.

“Saya berpandangan beliau ‘lebih sudu dari kuah’ dan jelas tersilap sasaran.

“Sebagai makluman Rafizi menang dengan memperoleh hampir 60 peratus undi atau majoriti sebanyak 16,668 undi.

“Saya tidak fikir Rafizi bersuara kerana obses akan jawatan kerana beliau menang dengan jurang yang sangat besar.

“Namun beliau mempersoal perubahan keputusan dan kehilangan undi selepas audit digital dilakukan dan pada pandangan saya persoalan ini ada asasnya,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Razeef juga melihat banyak pihak mempersoal keputusan pemilihan dan menggesa audit dijalankan.

“Malah setelah audit dijalankan pihak berkenaan masih melenting.

“Mengapa Syed Badli tidak menegur mereka yang setiap hari melenting namun hanya menghalakan tembakan ke arah Rafizi?,” katanya.

Katanya lagi, teguran Rafizi ada asasnya dan itulah yang sepatutnya dilakukan oleh Timbalan Presiden, membawa suara akar umbi parti.

“Mungkin sebab itulah Syed Badli dipecat daripada jawatan Naib Ketua AMK Malaysia dahulu kerana tidak menjalankan amanah dan tidak membawa suara akar umbi.

“Saya ingin melihat adakah Syed Badli berani untuk menegur mereka yang mempersoalkan keputusan pemilihan atau beliau hanya keluar ‘gua’ untuk menyerang Rafizi sahaja,” katanya.

Sebelum itu, Syed Badli menasihatkan’ Rafizi agar tidak terlalu obsesi dalam mengejar jawatan hingga mempertikaikan keperluan audit forensik terhadap pemilihan parti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|