Bung Moktar tiada sebut soal hubungan GRS-BN – Jasnih Daya

Bung Moktar tiada sebut soal hubungan GRS-BN – Jasnih Daya

Kota Kinabalu: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak membuat apa-apa keputusan mengenai hubungan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – BN (GRS-BN) sepanjang ucapannya pada Konvensyen BN Sabah, Sabtu lalu.

Pengarah Komunikasi BN Sabah, Jasnih Daya, berkata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu hanya menegaskan bahawa beliau tidak mahu BN Sabah dibuli dan diambil mudah seperti yang berlaku pada masa lalu.

Dengan merujuk kepada kenyataan Ketua EXCO Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Kong Soon Choi, baru-baru ini, Jasnih berkata tuduhan yang tidak sepatutnya terhadap Bung Moktar berdasarkan ucapannya pada konvensyen itu jelas satu tindakan yang tidak profesional.

“Hantaran terbaharu dibuat Ketua EXCO Wiramuda STAR, Kong Soon Choi menunjukkan dia tertarik dengan ucapan yang dibuat Datuk Bung ketika Konvensyen BN dengan cara yang tidak sepatutnya berbanding bersikap profesional seperti yang dia cadangkan sendiri.

“Ia menimbulkan banyak perhatian khususnya dengan melabelkan bahawa BN Sabah mahu menarik balik sokongan terhadap pakatan GRS-BN,” katanya dalam satu kenyataan malam ini sebagai maklum balas terhadap dakwaan Soon Choi.

Dalam kenyataannya, Soon Choi antara lain menyebut keputusan BN Sabah untuk terus bersama atau tidak dengan GRS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mungkin tidak menjadi masalah, malah ditunggu-tunggu oleh pengundi negeri ini.

Jasnih yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, berkata perkara seumpama itu tidak sewajarnya ditimbulkan, sebaliknya semua pihak harus ingat kerja keras yang dilakukan bersama sebelum ini untuk menjadikan pakatan GRS-BN satu kenyataan.

“Ia satu peperangan yang mana kita bertarung dengan peluh dan air mata. Sabah sendiri berdepan keadaan tidak menentu selepas pilihan raya negeri apabila kerajaan persekutuan berpecah.

“Datuk Bung adalah individu yang memohon kepada BN / UMNO Pusat supaya membiarkan Sabah ditadbir oleh pakatan GRS-BN,” katanya.

Beliau menegaskan Bung Moktar juga kekal dengan pendirian berjuang untuk rakyat Sabah sama ada ketika menjadi pembangkang atau berada dalam kerajaan.

“Jangan sampai kita lupa, Datuk Bung berdiri untuk Sabahan sama ada ketika beliau di dalam atau di luar daripada Putrajaya, dalam pembangkang atau kerajaan.

“Sudah tentu beliau beremosi, kenapa tidak? Kita tahu beliau ialah seorang yang dihormati dan beliau mahu semua orang dihormati terutamanya dalam pakatan ini.

“Kepada Kong Soon Choi, jika kamu tiada kata-kata yang baik untuk diucapkan mengenai bos atau parti kami, kamu seharusnya duduk dan menulis biografi mengenai bos atau parti kamu berbanding memecahbelahkan kita dan membuang masa kami,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|