Syarikat penerbangan dipelawa jadikan Sabah sebagai hab operasi

Syarikat penerbangan dipelawa jadikan Sabah sebagai hab operasi

Kota Kinabalu: Syarikat penerbangan dipelawa menjadikan Sabah sebagai pangkalan operasi mereka khususnya apabila sempadan negara dibuka tidak lama lagi.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, potensi dan rekod prestasi Sabah harus dijadikan pendorong bagi semua pihak berkepentingan untuk terus bekerjasama dan merebut peluang baharu merancakkan semula industri pelancongan antarabangsa.

Katanya, sebelum pandemik Covid-19, Sabah boleh diakses melalui penerbangan terus dari 20 bandar antarabangsa utama dengan lebih 220 penerbangan setiap minggu, terutamanya dari rantau Asia Utara.

“Selain itu, terdapat lebih 400 penerbangan domestik yang menghubungkan 10 destinasi di Malaysia. Memandangkan banyak negara membuka sempadan mereka mulai Mac, kami percaya Malaysia akan turut serta tidak lama lagi.

“Dalam hal ini, saya menjemput semua syarikat penerbangan untuk menjadikan Sabah sebagai hab operasi,” katanya pada majlis makan malam bersama Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) di sini, malam tadi.

Joniston yang juga Pengerusi STB yakin industri pelancongan antarabangsa akan pulih walaupun tidak sama seperti sebelum ini.

Tambahnya lagi, penyertaan dan sokongan syarikat penerbangan adalah penting untuk membantu mempromosikan negeri ini dan mewujudkan semula kerjasama bagi akses baharu ke Sabah.

Sementara itu, Pengerusi AOC, Mohamad Azri Mohammad Rashad berkata, penerbangan Air Asia, Malindo Air, dan MAS bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu mencatatkan muatan pesawat yang tinggi.

“Sejak beberapa minggu lalu, kebanyakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu mempunyai 70 hingga 80 peratus muatan. Ia adalah angka yang agak tinggi.

“Malah bagi Sabah, terdapat tiga hingga empat penerbangan dalam sehari berbanding Johor Bahru, Alor Setar, Kota Bharu dan Terengganu. Jadi, saya berasa berbesar hati berada di sini dan pada masa sama, kami mahu terus merangsang ekonomi,” katanya.

Mohamad Azri turut berkata, sempadan negara dijangka dibuka tidak lama lagi dan pasukan AOC turut terlibat dalam merancang serta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan pihak Malaysia Airports, Tourism Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 26 Februari lalu.

Katanya, ini adalah lawatan kedua pihak AOC ke Sabah yang pada mulanya dijadualkan pada 2020 tetapi ditangguhkan akibat pandemik.

Turut hadir pada majlis makan malam itu adalah wakil daripada syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|