Kuala Lumpur: Vireen Teo tebus kekecewaan kalah di final empat tahun lalu dengan merangkul emas Muaythai kategori 45-48kg wanita pada SUKMA XX di South City Plaza, Seri Kembangan, di sini, hari ini.
Atlet berusia 22 tahun itu mendominasi dengan memenangi ketiga-tiga pusingan 10-9, 10-9, 10-9 ke atas Nur Aleesya Mohd Alawi dari Wilayah Persekutuan pada perlawanan akhir.
“Ia bukan semudah seperti yang dilihat. Saya yakin tetapi bukan terlalu yakin… saya tidak pernah memandang rendah lawan, tidak kiralah siapa mereka.
“Paling penting adalah saya memberikan yang terbaik di gelanggang,” kata Vireen ketika ditemui selepas perlawanan.
Katanya, kemenangan itu menebus kekecewaan kalah di final SUKMA 2018 Perak.
“Saya bertekad untuk merangkul emas dan sebab itu saya cuba memberi yang terbaik setiap kali memasuki gelanggang pertarungan.
“Saya sangat gembira akhirnya menang emas dan kebetulan ini adalah SUKMA terakhir saya,” katanya.
Pertandingan itu mendapat sambutan hangat penonton termasuk ibubapa Vireen yang menjadikan kemenangannya itu lebih istimewa.
Pingat emas Vireen itu juga bonus buat kontinjen Sabah kerana skuad Muaythai hanya disasarkan satu emas yang telahpun mereka capai kelmarin menerusi gandingan Myra Amira Roslan dan Yan Jia Chi dalam acara Waikru/Mai Muaythai – Seni Duo yang dipertandingkan buat kali pertama di SUKMA.
Dua lagi peserta Sabah bertarung di final hari ini iaitu Shah Aryan Shahzam dalam kategori 48-51kg dan Kenny Jaffli (67-71kg) lelaki tetapi kedua-duanya tewas untuk hanya berpuas hati dengan pingat perak.
Skuad muaythai Sabah juga menang pingat perak menerusi gandingan Darris Muzzamiel Mahadi/Thien Zhi Cheng (Waikru/Mai Muaythai – Seni Duo lelaki) dan Eva Anastasia Warren (45-48kg wanita) serta dua gangsa dari Riedzwan Norsyahmie Daud (57-69kg lelaki) dan Nur Insyirah Mandol (42-45kg wanita).
Keseluruhannya skuad Muaythai Sabah menang dua pingat emas, tiga perak dan dua gangsa. Pertandingan sukan Muaythai selesai hari ini.
-Deasoka