SUKMA XX: Nevern pertahan pingat emas perseorangan tenpin boling

SUKMA XX: Nevern pertahan pingat emas perseorangan tenpin boling

Kuala Lumpur: Skuad tenpin boling Sabah memulakan cabaran dengan memenangi satu pingat emas menerusi Nevern Netaneel Marcellinus dalam acara perseorangan lelaki pada SUKMA XX di Sunway Mega Lanes, Subang hari ini.

Turun selaku juara bertahan, Nevern tenang mengharungi cabaran sengit sehingga ke permainan pusingan terakhir untuk keluar sebagai pemenang.

Nevern mencatat 1276 jatuhan pin untuk menang tipis ke atas Danial Haiqal Izwan Suhardi (Pahang) yang mencatat 1270 jatuhan pin. Pingat gangsa dimenangi Hariz Adlan Azman (Pulau Pinang: 1249 jatuhan pin).

“Ia adalah pertarungan sengit dan mendebarkan di mana penentuan kemenangannya sehingga ke pusingan terakhir. Nevern berjaya mengharunginya dengan baik dan kekal tenang untuk membuat catatan baik.

“Kemenangan ini sangat menggembirakan dan melegakan,” kata pengurus pasukan, Rozzainy Sham Talip ketika dihubungi.

Menurutnya, Sabah sebenarnya mengharapkan dua pingat emas hari ini, satu lagi dalam acara perseorangan wanita di mana mereka diwakili lima pemain termasuk juara bertahan Nurul Alyssa Junaidi.

Bagaimanapun Nurul Alyssa hanya mampu menduduki tangga ke-16 dengan 1102 jatuhan pin. Catatan terbaik Sabah adalah menerusi Cara Loh Wai Theng dengan 1165 jatuhan pin tetapi sekadar meletakkannya di kedudukan ketujuh.

Pingat emas dan perak acara itu dimenangi pemain Sarawak, Lavinia Kho Jia Jie (127 jatuhan pin) dan Nur Hzirah Ramli (1268) manakala pingat gangsa milik Nur Nais Falilnesa Isman (Selangor: 1263).

“Kami akan kembali untuk cuba dapatkan emas kedua apabila saingan disambung esok,” kata Rozzainny.

Tenpin Bowling menawarkan dua lagi emas menerusi acara beregu lelaki dan wanita esok.

Sambil itu, pingat emas daripada Nevern serta sumbangan satu emas, lima perak dan satu gangsa dari skuad olahraga menyaksikan Sabah mengumpul 13 pingat emas, 12 perak dan 11 gangsa setakat jam 9.00 malam ini.

Ia meletakkan Sabah di kedudukan kedua carta kutipan pingat dengan Johor terus kekal mendominasi selepas merangkul 29 pingat emas, 18 perak dan 13 gangsa.

Di belakang Sabah dalam kelompok lima pasukan teratas ialah Terengganu (12e-14p-10g), Wilayah Persekutuan (10e-12p-18g) dan Pulau Pinang (10e-18p-16g).

Sebanyak 41 pingat emas lagi ditawarkan esok iaitu jumlah terbesar yang ditawarkan dalam sehari sukan terbesar negara yang dijadualkan berlangsung sehingga 24 September itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|