PRU-15: BERSATU Sabah siap sedia

PRU-15: BERSATU Sabah siap sedia

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Ketua Menteri yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia termasuk sayap Srikandi dan Armada yang memang sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya persiapan jentera parti termasuk Srikandi perlu terus diperkasakan bagi memantapkan lagi persediaan sedia ada.

“BERSATU di Sabah sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan jentera pilihan raya kita sentiasa aktif memandangkan kita baharu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa jentera Srikandi sudah mengadakan jelajah mereka di kawasan masing-masing.

“Justeru saya mengarahkan Srikandi agar terus memperkasakan gerak kerja di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya pada Majlis Malam Mesra Srikandi Malaysia bersama Ketua Menteri Sabah, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Armada BERSATU Sabah, Fairuz Renddan.

Mengenai majlis itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berharap ia dapat mengeratkan lagi dan saling berkongsi pengalaman dalam kalangan Srikandi BERSATU Sabah serta Semenanjung khususnya bagi menghadapi PRU-15.

Dalam pada itu, Hajiji berkata banyak kejayaan yang dicapai sejak kerajaan negeri GRS-BN menerajui negeri ini.

“Pada tahun lalu, Sabah mencatat hasil kutipan negeri berjumlah RM5.4 bilion, walaupun dalam keadaan pandemik dan politik yang tidak stabil terutamanya di peringkat Persekutuan.

“Mungkin tahun ini hasil negeri akan bertambah lagi dan semua ini adalah hasil dasar yang kita perkenalkan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selain perpaduan dalam mencapai kejayaan ini,” katanya.

Beliau menambah nilai pelaburan diterima Sabah sepanjang Januari hingga September pula mencecah RM9.9 bilion.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|