SUKMA XX: Andre raih emas kedua

SUKMA XX: Andre raih emas kedua

Kuala Lumpur: Andre Anura @ Anuar sempurnakan misi terakhirnya mempertahankan pingat emas acara lompat kijang lelaki SUKMA XX, di sini, pagi tadi.

Ia adalah emas kedua peribadi atlet berusia 23 tahun dari Tenom Sabah itu selepas meraih emas pertama dalam acara lompat jauh kelmarin.

Andre (dua dari kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin (tengah), Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, Mansur Asun yang juga Chef de Mission kontinjen Sabah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor selepas majlis penyampaian hadiah.

“Ini adalah penamat yang baik dan saya berpuas hati,” katanya sambil memberitahu bahawa SUKMA kali ini adalah yang terakhir baginya.

“Saya sasarkan dua pingat emas dan telah memberikan terbaik untuk mengotakannya…saya sangat gembira (dapat melakukannya),” katanya ketika ditemui semasa majlis penyampaian hadiah di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lompatan emas Andre dalam acara akhir lompat kijang lelaki di Stadium Nasional Bukil Jalil, pagi tadi.

Pada final lompat kijang itu, Andre menepati statusnya selaku atlet kebangsaan dan pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Mei lalu dengan catatan jarak lompatan terbaik 16.43m yang dilakukannya pada lompatan kedua.

Lompatan pertamanya 15.67m malahan sudah tidak dapat diatasi 14 peserta lain dalam acara akhir itu.

Pingat perak dimenangi atlet Selangor, Haniff Raffi dengan catatan 15.56m manakala pingat gangsa dimenangi Brendon Ting (Sarawak: 15.14m).

Seorang lagi finalis Sabah dalam acara itu, Muhammad Sunik Muslimin menduduki tempat keenam dengan catatan 14.54m.

“Saya belum pasti kejohanan disertai akan datang… mungkin SUKMA ini adalah kejohanan terakhir saya tahun ini,” kata Andre.

Pada Jumaat, Andre menang pingat emas acara lompat jauh dengan catatan 7.40m. Pingat perak dimenangi Shahrizal Nasharuddin Isham (Terengganu:7.25m) manakala gangsa dimenangi Muhammad Sunik (Sabah: 7.24m)

Pingat emas Andre pagi tadi adalah yang keempat buat skuad olahraga sekaligus menghampirkan mereka mencapai sasaran lima pingat emas.

Pingat emas lain sebelum ini dimenangi Farrel Glenn Felix Jurus (lompat tinggi lelaki) dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas (400m wanita).

Sasaran skuad olahraga dijangka tercapai seawal lewat petang ini dengan sandaran utama kepada Marlin Hing William dalam acara 5000m wanita.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|