SOGDC tidak pernah lantik mana-mana pihak urus projek pembinaan di SOGIP

SOGDC tidak pernah lantik mana-mana pihak urus projek pembinaan di SOGIP

Kota Kinabalu: Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk menguruskan sebarang projek pembinaan bagi pihak syarikat itu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Pengurus Perhubungan Awam SOGDC, Mohd Azman Lajim berkata, selaku syarikat yang bertanggungjawab ke atas SOGIP, pihaknya menafikan sekeras-kerasnys pernah melantik mana- mana individu atau syarikat yang cuba mengaitkan projek berkenaan.

“Disini juga pihak kami mengharapkan kepada semua pihak supaya menghubungi kami terlebih dahulu sekiranya ada mana-mana individu yang ada menawarkan sebarang projek berkaitan di SOGIP.

“Kami juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas dengan tindakan pantas pihak polis yang berjaya menyelesaikan kes ini dengan tertangkapnya suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah menerusi portal berita DEASOKA pada 14 Januari lalu.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan kes penipuan tawaran projek jutaan ringgit yang membabitkan projek penukaran lampu jalan LED seluruh sabah dan projek pembersihan serta pembinaan bangunan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Dalam laporan Deasoka.com sebelum ini, seorang lelaki ditahan polis selepas didapati melakukan penipuan terhadap enam kontraktor berhubung projek bernilai jutaan ringgit.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|