Situasi air pasang, banjir semakin pulih, 2 PPS di Kota Belud ditutup

Situasi air pasang, banjir semakin pulih, 2 PPS di Kota Belud ditutup

Kota Kinabalu: Situasi air pasang besar dan banjir di negeri ini mulai menunjukkan pemulihan dengan penutupan dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Belud.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata, penutupan Dewan SJK (C) Chung Hwa dan Dewan SK Pekan Kota Belud itu menjadikan jumlah PPS yang masih beroperasi sebanyak tujuh buah.

PPS di Kota Belud yang menempatkan mangsa banjir diisytihar tutup petang ini.

Menurutnya, hanya dua daerah yang masih melaporkan mangsa yang terjejas susulan fenomena air pasang besar di daerah masing-masing.

“Setakat 4 petang ini, jumlah keseluruhan mangsa terjejas adalah sebanyak 1,454 orang daripada 298 Ketua Isi Rumah (KIR).

“Daerah Pitas mencatatkan seramai 766 mangsa daripada 177 KIR, manakala Sandakan mencatatkan 688 mangsa daripada 121 KIR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya enam daripada tujuh PPS yang masih beroperasi bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas adalah di Pitas.

“Antaranya ialah Balai Raya Agropolitan Kg. Pinggan-Pinggan (297 mangsa), Dewan Kg. Mempakad (163 mangsa), dan Dewan Terbuka Kg. Rosob (156 mangsa).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg. Luntuk (79 mangsa), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (55 mangsa) dan Dewan Terbuka Kg. Salimpodon (16 mangsa).

“Manakala satu lagi PPS yang beroperasi dibuka di Sandakan, iaitu SK Sungai Anib 2 yang menempatkan 688 mangsa daripada 121 KIR,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|