Amaran hujan berterusan peringkat waspada di Pantai Timur, Barat Sabah

Amaran hujan berterusan peringkat waspada di Pantai Timur, Barat Sabah

Kota Kinabalu: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada bagi beberapa daerah di Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, amaran hujan berterusan itu dijangka berlaku sehingga lewat hari ini.

“Antara kawasan yang terlibat ialah di bahagian Sandaka, iaitu Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan; serta Kudat.

“Selain itu, amaran hujan berterusan juga dikeluarkan bagi beberapa bahagian di Sarawak bermula 30 hingga 31 Disember.

“Antara kawasan yang terbabit ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, angin kencang pada kelajuan 40-50 km/jam dengan ombak mencapai sehingga 3.5 meter dijangka boleh berlaku di perairan Sarawak, Sabah dan Labuan dalam tempoh tersebut.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.

“Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya lagi.

Amaran hujan berterusan peringkat waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang mahupun dijangka berlaku melebihi enam jam dalam tempoh tersebut, di sesuatu kawasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|