Simulasi khas persediaan kemasukan pelancongan di KKIA

Simulasi khas persediaan kemasukan pelancongan di KKIA

Kota Kinabalu: Satu simulasi khas diadakan sebagai persediaan untuk menerima kedatangan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Simulasi itu melibatkan pemain industri pelancongan dan pihak penguatkuasa bagi mengenal pasti sebarang kesukaran yang berlaku sebelum kemasukan pelancong sebenar apabila sempadan negara dibuka bermula 1 April depan.

Joniston meninjau simulasi menerima kedatangan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai menjangkakan kehadiran pelancong yang ramai pada minggu depan.

“Hari ini, saya berpeluang untuk melihat keadaan simulasi dan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) bagi ketibaan pengunjung. Kita menjangkakan kehadiran pelancong yang ramai di KKIA, minggu depan.

“Latihan simulasi ini sangat penting bagi membolehkan kita mengukur tahap kesediaan pelbagai pihak yang terlibat dan membuat penambahbaikan di mana yang perlu,” katanya ketika hadir menyaksikan simulasi itu.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin; Pengarah Imigresen Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof dan Pengurus Kanan KKIA, Sunif Naiman.

Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah berkata, wakil persatuan berkaitan pelancongan yang hadir pada simulasi itu turut mendapat perkongsian input untuk tujuan penambahbaikan.

“Antara penambahbaikan kritikal ialah pelawat antarabangsa hanya diperlukan untuk menjalani ujian air liur untuk saringan Covid-19 dan bukan ujian RTK-antigen seperti yang diputuskan sebelum ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|