Mayat kanak-kanak ditemui terapung

Mayat kanak-kanak ditemui terapung

Kota Kinabalu: Mayat kanak-kanak lelaki ditemui terapung di kawasan air laut berhampiran Kampung Tanjung Aru, di Jalan Coastal, di sini, petang tadi.

Mayat mangsa berusia lingkungan 10 tahun itu ditemui dua remaja lelaki yang kebetulan berjalan kaki melalui jalan berkenaan.

Pasukan Forensik IPK Sabah menjalankan pemeriksaan mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui terapung di laut berhampiran Kampung Tanjung Aru, Jalan Coastal, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kedua-dua remaja terbabit terus bertindak mengangkat mayat mangsa sebelum menghubungi polis menerusi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan pada jam 1.57 petang.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pasukan polis terus menjalankan siasatan dan kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Mohd Zaidi Abdullah meninjau lokasi mayat kanak-kanak yang ditemui terapung.

“Mangsa dipercayai warga asing berdasarkan ketiadaan kesan suntikan imunisasi BCG (Bacillus Calmette Guerin) pada badan mangsa.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, mayat mangsa juga hanya mengalami sedikit benjolan di bahagian dahi dipercayai akibat terhentak pada batu penghadang di tepi laut ekoran keadaan arus ombak yang agak kuat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Mohd Hazani (kiri) bersama rakannya Fadzli yang menemui mayat kanak-kanak terapung di laut berhampiran Kampung Tanjung Aru, Jalan Coastal, Kota Kinabalu.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan lakaran wajah mangsa akan diserahkan kepada media untuk mengesan waris.

Sementara itu, dua remaja yang menemui mangsa, Mohd Hazani Jasmani, 19, berkata, dia dan rakannya, Fadzli Yusuf, 17, menyedari mayat mangsa terapung ketika berjalan kaki melalui jalan berkenaan.

Katanya, dia dan rakannya terus turun ke laut untuk membawa naik mangsa sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|