Sidang DUN Sabah: Tubuh jawatankuasa khas tanggani isu buruh di Sabah

Sidang DUN Sabah: Tubuh jawatankuasa khas tanggani isu buruh di Sabah

Kota Kinabalu: Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan kerajaan Sabah bagi mengatasi isu buruh berkaitan industri perladangan dan pembinaan di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jika isu buruh tidak diatasi ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri terutama yang bekerja di ladang-ladang dan juga sektor pembinaan.

“Jadi kita akan mengambil usaha yang komited dan satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat negeri untuk menanggani isu ini,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung apa langkah kerajaan negeri untuk mengatasi isu buruh ketika ini.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri juga turut menubuhkan satu lagi jawatankuasa bagi menanggani isu bahan mentah yang dilihat turut menyebabkan harga barangan melonjak naik.

“Bahan mentah sekarang ini memang susah kita perolehi dan telah menyebabkan harga barangan naik melonjak termasuk bahan pembinaan rumah seperti besi dan sebagainya.

“Ini pun satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat negeri yang telah diurusetiakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (Datuk Ir Shahelmey Yahya) termasuklah jawatankuasanya daripada Kementerian Pertanian, Perindustrian dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, semua perkara yang dihadapi rakyat termasuk kenaikan harga barang secara mendadak dan juga bekalan makanan yang tidak cukup sedang diteliti secara serius.

“Semua perkara ini kita akan teliti secara serius kerana ia melibatkan kehidupan seluruh masyarakat dan rakyat kita.

“Tidak dapat dinafikan kenaikan harga yang mendadak dan juga ada bekalan makanan yang tidak cukup dan sekarang ini bekalan minyak masak, harga ayam yang naik semua berlaku akibat keadaan yang dialami bukan saja di negara kita, tetapi juga di seluruh dunia.

“Kerana rantaian bekalan pengeluaran terjejas akibat pandemik Covid-19. Bagaimanapun kerajaan tidak berdiam diri, kita akan berusaha sebaik mungkin kerana ini kehidupan rakyat kita terutama mereka yang berkepentingan dan juga mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya akui memang ringgit kita sekarang ini seperti yang disebut ADUN Senallang agak ketara nilainya berbanding US Dolar tetapi saya yakin di peringkat kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengawal keadaan ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|