Sidang DUN Sabah: Sandakan catat peningkatan kes denggi yang tinggi – Shahelmey

Sidang DUN Sabah: Sandakan catat peningkatan kes denggi yang tinggi – Shahelmey

Sandakan: Daerah Sandakan mencatat peningkatan kes denggi yang tinggi iaitu sebanyak 436 peratus sehingga 2 Julai lalu berbanding bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, jumlah kes denggi yang didaftarkan sehingga 2 Julai lalu adalah sebanyak 327 kes.

“Mengikut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), sebanyak 1,791 kes denggi telah didaftarkan di Sabah sehingga akhir
minggu epidemiologi 26 iaitu pada 2 Julai 2022.

“Bilangan kes denggi semasa iaitu 1,791 merupakan peningkatan kes sebanyak 101.9 peratus berbanding tempoh masa yang sama iaitu sebanyak 887 kes pada 2021

“Bagi daerah Sandakan, jumlah kes denggi didaftarkan sehingga 2 Julai 2022 adalah 327 kes. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 436 peratus berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas. Masih terdapat 6 kawasan wabak denggi yang aktif dilaporkan di Sandakan,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Hiew Vun Zin (Warisan-Karamunting) adakah kerajaan telah mengaktifkan usaha berkesan untuk membanteras wabak denggi dari terus meningkat.

Katanya lagi, JKNS kini sedang melaksanakan langkah-langkah proaktif dalam menangani kes denggi di Sabah termasuk pemantauan kes dan aktiviti kawalan denggi.

“Selain itu, pemeriksaan premis pembiakan nyamuk aedes dan operasi penguatkuasaan serta promosi kesihatan,” katanya.

Bagi menjawab soalan tambahan daripada Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwujudkan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengelakkan penularan wabak denggi, Shahelmey berkata, setiap PBT telah mempunyai jawatankuasa kesihatan yang dianggotai oleh pelbagai jabatan yang ada di daerah tersebut.

“Sudah pastinya sewaktu mereka mengadakan mesyuarat terutama dalam hal-hal kesihatan, hal ini telah diambil kira.

“Saya mengambil maklum lontaran yang telah dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting dan juga ADUN Luyang tadi untuk dibawa ke pengetahuan PBT melalui Jabatan Kesihatan ataupun pegawai-pegawai kesihatan yang ada di
daerah-daerah negeri Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|