Sidang DUN Sabah: Kerajaan komited tingkatkan ekonomi negeri dan rakyat

Sidang DUN Sabah: Kerajaan komited tingkatkan ekonomi negeri dan rakyat

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri amat komited dalam usaha meningkatkan ekonomi negeri dan rakyat menerusi strategi yang lebih mampan.

Usaha kerajaan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) itu akan memberi tumpuan memulihkan dan menjana semula pertumbuhan ekonomi negeri.

Antara intipati hala tuju itu membabitkan tiga elemen utama, iaitu merangkumi sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Belanjawan Sabah Maju Jaya memperuntukkan sebanyak RM4.596 billion.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM919.18 juta diperuntukkan untuk pembangunan ketiga-tiga sektor utama pembangunan negeri Sabah.

“Mengikut pecahan, peruntukan membabitkan Sektor Pertanian iaitu sebanyak RM561.81 juta, sektor Perindustrian RM 129.97 juta, manakala RM227.4 juta lagi diperuntukkan untuk sektor Pelancongan.

“Bagi memacu pembangunan dalam pelbagai sektor dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi pula, sejumlah RM1.368 bilion diperuntukkan dengan perbelanjaan menumpukan kepada sektor ekonomi iaitu sebanyak RM487.26 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dalam sidang DUN Sabah berhubung pendekatan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat berikutan kelembapan ekonomi global dan butirannya.

Hajiji berkata, hala tuju SMJ sudah membuahkan hasil yang mana setakat ini, sejumlah 20 MoU atau sudah ditandatangani bernilai RM47.36 bilion.

Katanya, ia termasuk 6 MoU yang dimeterai sebelum ini dengan nilai pelaburan RM19.9 bilion di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP).

“Pelaburan yang direalisasikan dalam Sektor Pertanian ialah pelaburan daripada syarikat Linaco Sdn Bhd, dengan nilai pelaburan RM420 juta untuk membangunkan tanaman kelapa, dan juga pembinaan Kilang Pemprosesan Kelapa di Paitan dengan nilai pelaburan RM200 juta.

“Dalam Sektor Perindustrian pula, pelaburan yang telah direalisasikan ialah kilang pembuatan kerajang tembaga oleh syarikat SK Nexilis bernilai RM4.28 bilion.

“Kilang ini dibina di tanah seluas 100 ekar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan dijangka beroperasi pada tahun 2023, mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan,” katanya.

Hajiji berkata, bagi sektor pelancongan pula, dua MoU sudah ditandatangani dengan dua pemaju untuk membangunkan sektor kemudahan pelancongan.

Katanya, ia termasuk usaha sama kumpulan Yayasan Sabah dengan Tegas Bangsa Sdn Bhd, bagi membangunkan Lok Kawi Resort City dengan nilai pelaburan RM7 bilion dan Pavilion Kota Kinabalu Sdn. Bhd bagi membangunkan Pavilion Harbour City bernilai RM2 bilion.

“Keyakinan pelabur dan perwakilan negara asing terhadap tadbir urus kerajaan negeri yang dipandu oleh SMJ juga sudah meningkat.

“Kita menerima kunjungan daripada dua puluh empat pesuruhjaya, duta dan konsulat jeneral daripada negara Asean, Asia, Timur Tengah dan Eropah,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|