SESB rugi RM16 juta akibat perlombongan bitcoin

SESB rugi RM16 juta akibat perlombongan bitcoin

Tawau: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mencatatkan kerugian sebanyak RM16 juta tahun ini akibat aktiviti penyambungan elektrik secara haram daripada kegiatan perlombongan mata wang kripto bitcoin di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar berkata, jumlah itu direkodkan dalam tempoh 11 bulan iaitu Januari hingga November tahun ini.

Katanya, SESB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan menerusi Operasi Bersepadu Op Letrik (Bitcoin) ke atas 54 premis yang dikenal pasti melakukan sambungan haram untuk aktiviti berkenaan.

“Setakat ini, banyak lokasi kegiatan itu sudah dikenal pasti di seluruh negeri dan tindakan lanjut kini sedang dalam proses untuk dilaksana.

“Melalui operasi bersepadu itu juga, terdapat seorang pesalah berjaya ditangkap dan didenda di daerah Tuaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan peralatan sokongan operasi SESB kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, penyambungan elektrik secara haram oleh pelombong bitcoin di Sabah ini sudah dikesan bermula tahun 2018 lagi.

Jelasnya lagi, ketika ini terdapat 11 pasukan penguatkuasa daripada SESB yang ditugaskan untuk melakukan operasi dan menghapuskan kegiatan ini.

Sementara itu, Mohd Yaakob berkata, kehilangan bukan teknikal akibat penyambungan haram ini berada pada sekitar tujuh peratus iaitu bersamaan kerugian RM140 juta setahun.

“Justeru, wajar supaya kita bertindak tegas dalam membanteras setiap kegiatan penyambungan elektrik secara haram di negeri ini agar kerugian tersebut tidak membebankan SESB.

“Saya minta kerjasama orang awam supaya melaporkan sebarang aktiviti penyambungan elektrik secara haram kerana ia bukan sahaja merugikan SESB tetapi turut mengganggu bekalan elektrik kepada pelanggan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|