Seramai 5,911 warga Filipina masih menunggu dihantar pulang

Seramai 5,911 warga Filipina masih menunggu dihantar pulang

TAWAU: Seramai 5,911 warga Filipina yang berada dalam tahanan di Depot Imigresen di Sabah, masih menunggu untuk dihantar pulang berikutan syarat yang dikenakan oleh negara berkenaan ketika ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata pihaknya menghadapi masalah menghantar pulang rakyat negara itu kerana tahanan terbabit perlu menjalani ujian saringan COVID-19.

“Isunya sekarang kos itu akan ditanggung oleh negara Filipina dan kita difahamkan peruntukannya masih belum disalurkan kepada pihak kedutaan negara berkenaan.

“Kita akan berjumpa dengan pihak kedutaan Filipina bagi membincangkan perancangan untuk membawa pulang rakyat mereka,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Katanya, JIM Sabah juga sebelum ini sudah mengutus surat kepada kedutaan Filipina di Kuala Lumpur untuk memohon supaya mana-mana tahanan yang mahu menangung kos sendiri dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun, kita belum mendapat respon daripada mereka sehingga ke hari ini dan perbincangan perlu diadakan secara bersemuka pada Sabtu ini.

“Sebab kita mendapat respon daripada keluarga tahanan yang sanggup menanggung kos sendiri untuk dibenarkan balik ke negara asal,” katanya.

Menurutnya, semua tahanan juga sudah lengkap vaksinasi dan bebas daripada wabak COVID-19 kerana mereka hanya berada dalam Depot Imigresen sahaja.

“Justeru, dari segi kesihatan mereka, negara Filipina tidak perlu risau kerana semua tahanan bebas daripada jangkitan wabak.

“Saya merayu kepada kerajaan Filipina supaya memberi kelonggaran kepada perkara ini kerana mereka sudah lama ditahan di Depot Imigresen,” katanya.

Sharifah berkata sekiranya tiada pengusiran khususnya warga Filipina dilakukan sudah pasti berlaku sedikit kesesakan di Depot Imigresen di negeri ini.

“Justeru, Filipina perlu mengambil langkah seperti yang dilakukan oleh negara Indonesia yang bersedia mengurus penghantaran pulang rakyat mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|