Pelancong hanya bayar RM60 untuk ujian RTK di Sabah

Pelancong hanya bayar RM60 untuk ujian RTK di Sabah

Kota Kinabalu: Hanya RM60 yang perlu dibayar pelancong asing dan tempatan bagi menjalani ujian RTK-Antigen untuk memasuki Sabah sempena pembukaan semula sempadan negara bermula esok.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan yang ditetapkan kerajaan negeri itu dijangka akan melonjakkan semula industri pelancongan di negeri ini.

Hajiji menyampaikan sijil kepada pemain industri yang terlibat dalam TSAM sempena pelancarannya bagi Sabah di SICC, Kota Kinabalu.

“Esok kita sudah mula membuka sempadan negeri dan kita berharap lebih ramai pelancong akan datang ke Sabah seperti sebelum kita menghadapi pandemik.

“Kerajaan negeri telah memutuskan, mereka yang masuk hanya dikenakan bayaran ujian RTK sebanyak RM60 saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pembukaan semula sempada negara bermula Jumaat selepas menyempurnakan pelancaran Travel Safe Alliance Malaysia (TSAM) bagi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dengan hanya mengenakan RM60 saja kepada setiap pelancong yang masuk ia suatu keputusan yang baik untuk industri pelancongan di negeri ini.

“Walaupun di Persekutuan menetapkan RM160 tetapi kita di peringkat negeri hanya tetapkan RM60 saja.

“Jadi ini sesuatu yang saya rasa amat sesuai dan melegakan pelancong yang datang kerana kita mahu industri pelancongan kita akan terus berkembang setelah dua tahun kita mengalami masalah dengan industri pelancongan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|