Keningau: Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dipandu bertembung dalam kejadian di Batu 16, Jalan Sook-Keningau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang maut dilaporkan terperangkap di dalam kereta Perodua Viva selepas bertembung dengan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya bergegas menghantar jentera bersama anggota sebaik menerima panggilan kecemasan.
Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.
“Mangsa berusia 27 tahun yang tersepit di dalam kenderaan Perodua Viva berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu Toyota Hilux berusia 34 tahun yang mengalami kecederaan parah terus diberikan rawatan awal pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari.
-Deasoka