Semua lapisan masyarakat perlu bantu banteras dadah

Semua lapisan masyarakat perlu bantu banteras dadah

Penampang: Pembabitan semua lapisan masyarakat diperlukan bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, langkah tuntas itu adalah bagi membantu pihak yang berkuasa mengatasi permasalahan berkenaan dari semasa ke semasa.

“Kerjasama dan penglibatan komuniti secara holistik bersama pemimpin masyarakat, jabatan-jabatan, badan bukan kerajaan, keluarga dan pihak yang bertanggungjawab ini penting bagi memastikan usaha membanteras dadah ini berjaya.

“Penglibatan ahli komuniti memberi gambaran bahawa program pencegahan dadah amat penting dan berguna kepada mereka,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan Program Fun Ride Against Drugs anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah dengan kerjasama Persatuan Komuniti Penampang dan PEMADAM Sabah dekat sini, semalam.

Turut hadir ialah Pengarah AADK negeri Sabah; Nani bin Sikin, Presiden Persatuan Komuniti Penampang; Rudy Jeckery Jikinon, dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N25 Kepayan; Lu Yen Tung.

Sementara itu, dalam program yang sama, beliau turut menyentuh tahap kesedaran perlu ditingkatkan oleh orang ramai berhubung bahayanya penyalahgunaan dadah.

“Kempen-kempen mengenai penyalahgunaan dadah ini penting untuk diteruskan dan disebar luas agar dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Ia juga untuk mendidik masyarakat agar mempunyai sifat peduli mengenai isu-isu berkaitan dadah dan mengamalkan aktiviti gaya hidup sihat,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|