Patuhi SOP ketika sambut perayaan – Shahelmey

Patuhi SOP ketika sambut perayaan – Shahelmey

Putatan: Orang ramai terutamanya yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di negeri ini diingatkan supaya mengambil langkah komprehensif dalam memastikan jangkitan Covid-19 dapat terus dilandaikan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan perlu diamalkan bagi mengelakkan penularan pandemik berkenaan.

Shahelmey bertemu peniaga dan masyarakat Cina sempena Tahun Baharu Cina di sekitar Putatan.

“Bersempena Tahun Baharu Cina 2022 ini, suka saya mengingatkan dalam kita merasa gembira meraikannya, jangan lupa untuk matuhi SOP yang digariskan oleh kerajaan.

“Ini adalah untuk kita sama-sama membendung jangkitan Covid-19 yang masih ada dalam komuniti,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program menyantuni peniaga dan masyarakat Tionghua di sekitar Pekan Putatan dan Pekan Taman Jumbo, Petagas, semalam.

Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat berkata, program itu dalam turut memberikan peluang ikatan silahturahim melibatkan masyarakat setempat.

“Saya bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan Tanjung Keramat turun ke kawasan kedai dan juga perumahan, untuk mengagihkan buah limau mandarin kepada masyarakat kita bersempena menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

“Saya sempat bertemu dengan masyarakat yang ada di sekitar untuk mendengar dan melihat keadaan sekeliling,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|