Lima PATI sembunyi dalam garaj kereta ditahan

Lima PATI sembunyi dalam garaj kereta ditahan

Tawau: Helah lima pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di dalam garaj kereta gagal selepas mereka ditahan Tim Quick Reaction Force (QRF), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) menerusi Op Benteng di Kampung Kurnia Jaya, di sini, hari ini.

Semua PATI warga Indonesia berusia satu tahun hingga 27 tahun itu baru masuk ke negara ini dengan menaiki bot dari luar sempadan memasuki perairan Malaysia pada jam 4.50 pagi.

PATI warga Indonesia ditahan ATB 2 dalam Op Benteng di Tawau. Pix ihsan ATB 2.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, pihaknya menerusi radar Coastal Surveillance Station (CSS) yang dikendalikan oleh MK ATB 2 mengesan tiga buah bot bergerak memasuki perairan Malaysia.

Katanya, pasukan QRF yang sedang meronda diaturgerak ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan dan menahan lima PATI yang bersembunyi di dalam garaj kereta.

“Pasukan QRF telah bertindak mengepung dan menahan semua PATI yang sedang bersembunyi di dalam garaj kereta berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka adalah warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki, seorang wanita serta bayi perempuan berusia setahun

“Semua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati mereka menaiki bot yang telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang ditetapkan.

“Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tujuan soal siasat dan proses saringan Covid-19 serta tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, katanya ini adalah tangkapan PATI yang keempat sepanjang Januari tahun ini.

Katanya, kejayaan ini membuktikan ATB 2 sentiasa komited dan berada pada kesiapsiagaan operasi yang tinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan sempadan negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|