Sembunyi barang kawalan untuk keuntungan tinggi di pasaran tempatan

Sembunyi barang kawalan untuk keuntungan tinggi di pasaran tempatan

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpas satu kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Barambangon, Kudat, semalam.

Dalam operasi jam 6.20 petang berkenaan, serbuan yang berjaya merampas tiga barang kawalan bernilai keseluruhan RM6,991.40 itu dijalankan hasil kerjasama pasukan Batallion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Tiga barang kawalan membabitkan minyak masak, tepung gandum dan gula pasir yang berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas 402 kilogram (kg) minyak masak peket (1kg), 864 kilogram gula pasir dan 914 kilogram tepung gandum.

Katanya, semua barangan berkenaan disyaki diseleweng dengan disorok sebelum dijual pada harga yang lebih tinggi di pasaran sekitar daerah Kudat.

Ketiga-tiga barang kawalan berkenaan dipercayai dijual di sekitar daerah Kudat pada harga yang lebih tinggi dari pasaran.

“Berdasarkan siasatan awal, premis berkenaan dipercayai menyorok dan menjual minyak masak pada harga yang lebih tinggi iaitu mencecah RM80 sekotak di pasaran sekitar daerah Kudat secara atas talian.

“Seorang lelaki yang dipercayai pemilik barang kawalan berkenaan juga ditahan di lokasi serbuan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Semua barang kawalan berkenaan dipercayai dijual secara atas talian di sekitar daerah Kudat.

Georgie berkata, pemeriksaan juga mendapati pemilik terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Selain itu, siasatan lanjut juga akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana menjual barang kawalan pada harga yang tidak munasabah dan terlalu tinggi,” katanya.

Menurutnya, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan itu boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” katanya.

Georgie berkata, KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, KPDNHEP akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh disalurkan kepada KPDNHEP menerusi talian Whatsapp 019-279 4317 dan 019-848 8000.

“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 atau emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|