Sembilan penuntut UMS menang kumpulan terbaik YOCA 2022

Sembilan penuntut UMS menang kumpulan terbaik YOCA 2022

Kota Kinabalu: Sembilan penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) memenangi anugerah Pembentangan Produk Kraf dan Strategi Pemasaran Terbaik (Berkumpulan) di Youth Craft for Asia (YOCA), Arts and Crafts Showcase 2022 sempena Persidangan Tahunan Belia Kali Pertama yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 September lalu.

Pasukan UMS yang terdiri daripada tujuh penuntut Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) dan dua pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan (FSSK) yang ditaja sepenuhnya oleh Sabah Creative Economic and Innovation Center (SCENIC) itu berjaya menewaskan 31 wakil institusi pengajian tinggi (IPT) awam, swasta serta agensi dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina.

Pegawai Pengiring, Juhan Junaidi berkata, pasukan UMS membentangkan produk Happy Potato yang bercirikan konsep ekopelancongan.

“Rekaan grafik produk yang dibentangkan memaparkan lokasi dan budaya menarik yang terdapat di setiap negeri di Malaysia seperti motif dan corak Sabah, Jambatan Angkat Terengganu, Menara Condong Teluk Intan Perak dan banyak lagi.

“Produk ini merupakan identiti atau ikon dalam industri pelancongan yang mempunyai maklumat mengenai tempat-tempat menarik yang berada di Malaysia sebagai panduan kepada pelancong dalam dan luar negara untuk pergi ke kawasan yang hendak dikunjungi,” katanya kepada media hari ini.

Beliau yang juga pelajar pascasiswazah ASTiF turut berkata, pertandingan yang disertai itu memerlukan setiap kumpulan membentang idea selama 12 minit di hadapan juri pertandingan.

“Semasa pembentangan, keupayaan pasukan UMS menyampaikan idea produk yang boleh membantu industri pelancongan yang terkesan apabila pandemik Covid-19 melanda dunia telah memberikan kemenangan ini.

“Ideanya ialah apabila menerima kunjungan pelancong, produk yang dibentang ini akan menjadi hadiah atau cenderamata kepada pelancong dan produk edisi khas akan dikeluarkan semasa menyambut perayaan tertentu.

“Produk tersebut juga boleh digunakan sebagai tong sampah mini bagi menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.

Juhan berkata lagi, strategi pemasaran yang digunakan adalah dengan menggunakan bungkusan yang menarik dan berkolaborasi dengan syarikat seperti Shopee untuk membuat jualan mega.

“Kaedah pengiklanan yang digunakan pula ialah melalui aplikasi YouTube dan TikTok. Selain itu kaedah promosi dalam laman web rasmi juga digunakan untuk mendapatkan stok yang mencukupi dengan harga yang lebih murah.

“Menariknya lagi, perisa yang digunakan adalah perisa balado dan wasabi yang juga hasil daripada kolaborasi dengan syarikat lain,” katanya.

Terdahulu, program selama empat hari itu dianjurkan SukaSeni dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang fokus kepada pembangunan industri ekonomi kreatif dan pertukaran budaya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|