Sektor Minyak dan Gas: Sabah dijangka mengutip RM2.45 billion royalti & SST

Sektor Minyak dan Gas: Sabah dijangka mengutip RM2.45 billion royalti & SST

Kota Kinabalu: Sabah dijangka mengutip sekitar RM2.45 bilion setahun secara berterusan royalti dan bayaran SST daripada sektor minyak dan gas berikutan kemasukan Petrochemicals (PetChem) dalam enakmen SST baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bergantung kepada pergerakan harga minyak, kerajaan negeri boleh menjangkakan untuk mengutip jumlah royalti dan bayaran SST itu setahun.

Menurutnya, berikutan kemasukan PetChem dalam enakmen SST, Petronas Chemical telah membuat sumbangan tambahan sebanyak RM10 juta untuk bulan Ogos tahun ini kepada kutipan SST negeri Sabah untuk operasi SAMUR di Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP).

Beliau turut mengesahkan bahawa Hibiscus Petroleum telah menjelaskan semua pembayaran SST tertunggak.

“Kami berharap untuk membangun dan mengembangkan perniagaan minyak dan gas dengan semua syarikat minyak dan gas dalam suasana perkongsian harmoni,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Bekalan Gas Asli dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Jual Beli Aset dan Perniagaan Gas di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. (SEC) di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Teks ucapan beliau itu disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Menteri Kewangan II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa cadangan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan cawangan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) kini telah berjaya dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTP dan University College Sabah Foundation (UCSF).

Jelasnya, ia akan meningkatkan lagi pembangunan modal insan Sabah dan keupayaan untuk menyokong sektor minyak dan gas (O&G) selaras dengan visi Sabah Maju Jaya.

”Saya juga berasa amat bangga dengan kemajuan dan pembangunan ini. Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS kerana menunjukkan komitmen serta sentiasa mendengar tuntutan Sabah terhadap industri minyak dan gas.

“Ia sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dalam usaha memastikan apa yang terbaik untuk Sabah dan rakyatnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|