Sam Mannan dilantik Profesor Adjung FPT UMS

Sam Mannan dilantik Profesor Adjung FPT UMS

Kota Kinabalu: Bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perhutanan Tropika (FPT), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau menerima surat pelantikan sebagai Profesor Adjung daripada Pendaftar UMS, Luqman Ridha, dalam satu majlis, di sini, semalam.

Penyerahan surat berkenaan turut disaksikan Dekan FPT UMS, Prof Madya Dr Normah Awang Besar @Raffie dan Pemegang Kursi Perhutanan Datuk Kelvin Tan Aik Pen UMS, Prof Madya Dr Berhaman Ahmad.

Normah berkata pelantikan itu memberi manfaat besar untuk mengangkat FPT dan UMS ke tahap lebih tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Sebagai bekas Ketua Pemulihara Hutan Sabah (Chief Conservator Forest), Sam Mannan adalah seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang perhutanan selain mempunyai jaringan hubungan luar yang luas.

“FPT berasa sangat bertuah dan menyambut baik kehadiran beliau. Saya ucapkan selamat datang dan selamat menjadi warga Fakulti Perhutanan Tropika UMS,” katanya.

Sementara itu, Sam Mannan dalam dalam maklum balasnya selepas menerima surat pelantikan berkenaan merakamkan ucapan terima kasih kepada UMS.

“Dengan pengalaman yang ada, saya berhasrat untuk bersama-sama dengan kepimpinan universiti dan fakulti membawa FPT terus maju ke hadapan khususnya dalam bidang perhutanan.

“Saya sangat menggalakkan kakitangan akademik terus menambah ilmu dan pengalaman melalui penyertaan latihan-latihan di peringkat antarabangsa, contohnya di New Zealand,” katanya.

Sam Mannan dilantik sebagai Profesor Adjung di FPT UMS selama dua tahun berkuat kuasa 14 Mac 2022.

Sebagai Profesor Adjung, beliau antara lain dikehendaki menyampaikan syarahan umum dalam bidang perhutanan, menjadi penasihat akademik kepada ahli akademik fakulti, mentor dalam bidang penyelidikan dan konsultansi, membantu mengeratkan hubungan UMS dengan organisasi luar serta membantu untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) fakulti.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|