Sabah terima kadar bayaran geran baharu mulai tahun ini

Sabah terima kadar bayaran geran baharu mulai tahun ini

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan menerima kadar bayaran geran yang baharu mulai tahun ini susulan rundingan berkaitan semakan pemberian khas daripada kerajaan persekutuan, baru-baru ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata ia adalah hasil daripada rundingan melalui Jawatankuasa Perundingan Bersama Untuk Meneliti Semula Pemberian Khas Kepada Negeri Sabah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan negeri juga akan meneruskan tuntutan hasil melalui rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada pasukan kerajaan negeri atas usaha dan kesungguhan dalam memperjuangkan hak negeri selama lima dekad.

“Saya berharap seluruh rakyat akan terus memberi sokongan kepada usaha-usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil negeri ini agar pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan negeri dapat dipergiatkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini,” katanya dalam ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16, hari ini.

Juhar turut menyatakan kesyukuran atas kejayaan kerajaan negeri memperoleh kutipan hasil sebanyak RM5.449 bilion pada 2021 walaupun negeri masih berhadapan dengan pelbagai cabaran khususnya yang dicetuskan pandemik Covid-19.

“Buat pertama kalinya, kutipan hasil negeri ini menembusi angka RM5 bilion dan memecahkan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu berjumlah RM4.541 bilion pada 2014.

“Dalam kesempatan ini, saya sekali lagi merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan kepimpinan kerajaan negeri kerana telah meletakkan pentadbiran di landasan yang kukuh sehingga berjaya membawa pencapaian yang cemerlang ini.

Tun Juhar bagaimanapun menegaskan, dalam usaha untuk mengekalkan kecemerlangan itu, Pasukan
Pemungut-Pemungut Hasil Negeri perlu memainkan peranan yang lebih agresif dan bertungkus-lumus bagi memastikan bukan sahaja sasaran hasil negeri bagi tahun 2022 dapat dicapai, malah dapat mengekalkan angka RM5 bilion.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|