Sabah lancar minyak masak ‘Sayang’

Sabah lancar minyak masak ‘Sayang’

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan Sawit Kinabalu telah melancarkan jenama minyak masak tempatan dikenali sebagai, ‘Sayang’.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia merupakan sebahagian daripada inisiatif menjadikan komoditi itu lebih mudah diakses dan mampu dimiliki oleh rakyat.

Hajiji menyerahkan minyak masak ‘Sayang’ kepada salah seorang pengusaha restoran di Anjung Selera, Likas.

“Kita sentiasa peka terhadap keperluan rakyat, melihat kepada kekurangan bekalan minyak masak dan harga yang tinggi sejaka akhir-akhir ini.

“Ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan ia selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat dalam mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pra-Pelancaran Minyak Masak ‘Sayang’ di Anjung Selera, Likas, hari ini.

Hajiji yang juga merangkap Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu berkata bahawa minyak masak ini dihasilkan oleh syarikat subsidiari mereka, Kunak Edible Oil Sdn Bhd (KEOSB).

Menurut beliau, minyak masak berkualiti tinggi ini dijual dalam botol 1kg, 2kg dan 5kg dan berharga lebih murah berbanding jenama minyak masak tidak bersubsidi lain yang berada di pasaran.

“Harga minyak masak tidak bersubsidi (2kg) adalah RM13.20 manakala botol 5kg adalah RM31.

“Sementara, harga untuk minyak masak subsidi akan menjadi standard iaitu RM2.50 sekilogram,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kapasiti pengeluaran bulanan Sawit adalah 150 tan bagi minyak masak bersubsidi dan 100 tan bagi minyak masak tidak bersubsidi..

“Saya berharap ini akan menghapuskan masalah kekurangan minyak masak di pasaran,” katanya sambil menambah bahawa bekalan minyak masak ‘Sayang’ akan diedarkan ke seluruh Sabah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Bacho Jansie berkata, KEOSB akan berkerjasama dengan syarikat tempatan seperti Sthamin Supermarket dan beberapa lagi ejen pemasaran yang akan dilantik bagi memasarkan produk itu.

Sawit Kinabalu menerusi satu lagi syarikat subsidiari, Kunak Refinery Sdn Bhd juga akan membekalkan minyak masak bersubsidi (paket 1kg) kepada rakyat di negeri ini.

Terdahulu, Hajiji telah menyerahkan minyak masak ‘Sayang’ kepada penjaja makanan yang beroperasi di sekitar Anjung Selera, Likas.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Pengurus Besar Sedcovest Holdings, Amir Karim; Pengarah Urusan Sthamin, Busthamin Paita dan ahli-ahli Lembaga Kumpulan Sawit Kinabalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|