Pemandu maut tercampak dirempuh kenderaan langgar lampu merah

Pemandu maut tercampak dirempuh kenderaan langgar lampu merah

Ampang Jaya: Akibat melanggar lampu isyarat merah, seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian membabitkan dua kenderaan di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 malam itu, pemandu Perodua Alza berusia 32 tahun tercampak keluar selepas dirempuh Proton Waja dipandu individu berusia 24 tahun.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua pemandu kenderaan terbabit mengalami kecederaan parah.

Bagaimanapun, pemandu MPV disahkan meninggal dunia jam 7 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja bergerak dari Lembah Jaya menuju ke pusat bandar melanggar bahagian sisi kiri Perodua Alza yang sedang membelok ke kanan memasuki Bandar Baru Ampang.

“Pelanggaran menyebabkan pemandu Perodua Alza tercampak keluar dari kereta dipandunya.

“Mangsa berusia 32 tahun dan pemandu Waja berusia 24 tahun yang parah dihantar ke Hospital Ampang dengan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, pemandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian salah seorang pemandu yang gagal mematuhi lampu isyarat merah hingga menyebabkan kemalangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya, susulan itu, saksi bebas yang menyaksikan kejadian diminta untuk tampil menyalurkan maklumat dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya Inspektor Nur Nadzirah binti Abdul Rahim di talian 012-4401093.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|