PRU15: Jumardie lawan bekas ‘bos’ di Sepanggar

PRU15: Jumardie lawan bekas ‘bos’ di Sepanggar

Kota Kinabalu: Kerusi Parlimen Sepanggar bakal menyaksikan pertembungan dua anak muda yang pernah berada dalam khemah yang sama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), bulan depan.

Ia selepas penyandangnya, Datuk Mohd Azis Jamman, 47, yang diumum dicalonkan semula Parti Warisan (WARISAN) beberapa hari lalu, bakal dicabar bekas Ketua Wira WARISAN Sepanggar.

Bakal bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Jumardie Lukman, 40, menjadi pencabar utama bekas bosnya itu.

Jumardie adalah bekas Ketua Wira WARISAN Sepanggar antara 2018 hingga awal Januari tahun ini di bawah sayap Wira WARISAN yang diketuai Mohd Azis sebelum ini.

Mohd Azis kini adalah Ketua Penerangan WARISAN selepas tidak bertanding semula untuk jawatan Ketua Wira WARISAN pada pemilihan parti itu baru-baru ini, manakala Jumardie kini adalah Ketua Pemuda Negeri, Parti KDM.

Kedua-duanya juga adalah Ketua Bahagian Sepanggar parti masing-masing.

Sebelum ini, Jumardie menyertai bekas Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony keluar daripada parti itu pada Disember tahun lalu sebelum menubuhkan Parti KDM pada Februari lalu.

Semalam, Peter mengumumkan nama Jumardie sebagai calon parti berkenaan di kerusi Parlimen Sepanggar ketika sidang medianya di Penampang.

Dalam perkongsian di laman Facebook beliau, Jumardie berkata beliau mengambil keputusan menceburi politik dengan misi untuk membantu masyarakat.

Jumardie yang juga merupakan mantan Setiausaha Sulit Menteri di Kementerian Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah aktif dalam kerja kemasyarakatan melalui badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuainya, khususnya membantu komuniti.

“Kalau hari ini saya hanya mampu bantu 10 orang. Kalau melalui politik saya boleh bantu, bela dan bangunkan 100,000 orang, maka sebab itulah saya masuk politik. Doakan yang baik-baik,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azis yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri mempertaruhkan rekod perkhidmatannya selama sepenggal selepas memenanginya dengan majoriti 12,984 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada PRU14.

Dalam pada itu blok kerajaan dijangka sekali lagi mempertaruhkan calon dari UMNO Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi Sepanggar yang sebelum PRU14 dikuasai parti itu.

Satu lagi blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) dijangka meletakkan calon mewakili PKR dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim sebagai antara calonnya, namun difahamkan, komponen PH Sabah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut mengintai kerusi itu dan masih berunding dengan PKR.

Parlimen Sepanggar kini mempunyai 108,370 pengundi berdasarkan daftar pemilih setakat Ogos lalu yang diwarta pada 9 Oktober 2022 berbanding 63,398 pengundi pada PRU14 (2018).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|