Fairuz dilantik Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan

Fairuz dilantik Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan dilantik sebagai Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berikutan pelantikan itu, jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri yang dikosongkan oleh Fairuz akan diisi oleh ADUN Kukusan, Rina Jainal.

Hajiji berkata, pelantikan Fairuz sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

“Majlis angkat sumpah beliau akan ditetapkan oleh pihak Istana negeri,” katanya ketika mengumumkan rombakan kecil itu menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan pertukaran dua pembantu menteri membabitkan Kementerian Kewangan negeri dan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

“Pertukaran dua pembantu menteri ini dilakukan berikutan pengosongan portfolio bagi jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri selepas penyandangnya, Datuk Wetrom Bahanda bertindak tingalkan kerajaan pada pertengahan Oktober lalu.

“Berikutan pengosongan itu, tempat Wetrom akan digantikan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

“Manakala, jawatan Nizam akan diisi oleh Datuk Julita Majungki, yang sebelum ini adalah Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Wetrom yang juga ADUN Bandau secara rasmi mengesahkan penyertaan beliau dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) selepas bertindak keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|