Sabah gagal ke separuh akhir Piala FA

Sabah gagal ke separuh akhir Piala FA

Kota Kinabalu: Sabah gagal ke pusingan separuh akhir Piala FA apabila tewas 2-0 ke atas Selangor FC dalam aksi suku akhir di Stadium Likas, malam ini.

Skuad Sang Badak awal-awal lagi sudah dibolosi menerusi jaringan pemain import Selangor, Hyuri Henrique De Oliveira Costa sejurus perlawanan bermula.

Antara aksi perlawanan Sabah FC dan Selangor FC.

Dengan kelebihan 1-0 bermula minit pertama perlawanan, Selangor sudah selangkah memenangi perlawanan, berbanding Sabah yang umpama ditimpa malang.

Gol Hyuri terhasil apabila bola yang ditendangnya gagal dihalang penjaga gol Sabah, Damien Lim yang meluru keluar lebih awal tanpa bantuan pertahanan yang menyangkakan pemain lawan itu dalam kedudukan offside.

Sabah FC dan Selangor FC dalam aksi suku akhir di Stadium Likas, malam ini.

Jaringan berkenaan ternyata mengundang tekanan kepada skuad Sang Badak lebih-lebih lagi bermain di hadapan kira-kira 20,000 penyokong yang datang ke Stadium Likas, malam ini.

Selepas insiden minit pertama itu, Sabah cuba bangkit dan melakukan beberapa cubaan menarik, namun tiada yang berjaya membuahkan jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor kelihatan semakin agresif untuk menambah jaringan dan menyebabkan permainan Sabah kucar-kacir dengan serangan balas menjadi tidak teratur berikutan banyak hantaran bola mudah dipintas pasukan lawan.

Bagaimanapun, Sabah berjaya mendapat banyak sepakan sudut dan sepakan percuma sepanjang babak kedua permainan, namun tiada yang berjaya diterjemahkan kepada jaringan.

Keadaan hujan lebat pada separuh masa kedua juga sedikit sebanyak menyukarkan usaha pemain Sabah dan menetapkan sasaran cubaan dengan baik disebabkan padang dan bola yang licin.

Selangor akhirnya menambah gol kedua pada minit ke-80 melalui Herlison Caion sekali gus mengukuhkan kedudukannya dengan 2-0 itu hingga ke wisel penamat.

Keputusan itu sekali gus melayakkan Selangor FC untuk ke pusingan seterusnya Piala FA bagi musim 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|