Rundingan babitkan pemimpin PH dengan MUDA biadap – Razeef

Rundingan babitkan pemimpin PH dengan MUDA biadap – Razeef

Kota Kinabalu: Segala rundingan yang dilakukan di belakang oleh beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dilihat sebagai tindakan yang biadap, kata Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin.

Beliau juga berpandangan segala keputusan mengenai perkara itu perlu dibuat pada mesyuarat Majlis Presiden PH.

Razeef Rakimin

“Saya mengambil maklum kenyataan dari Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan keinginan parti itu menyertai PH.

“Kenyataan beliau juga disambut beberapa pemimpin dari Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP,” katanya dalam kenyataan pada malam tadi.

Beliau berkata, Majlis Presiden perlu mengambil keputusan bijak dan tidak memikul pihak yang hanya akan menjadi liabiliti kepada PH.

“Ambil ikhtibar situasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta beberapa kenyataan angkuh dari pemimpin MUDA. Kita telah membuka ruang kerjasama serta memberi tapak kepada MUDA pada PRN Johor yang lalu.

“Namun apa yang dilakukan MUDA sangat biadap pada ketika itu. Bermula dengan menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Tiram dari PKR pada ketika itu sebagai tidak amanah.

“Kemudian laman media sosial MUDA Johor memuat naik poster ‘Hentikan Korupsi’ dengan memaparkan logo PKR dan PH seolah-olah dua entiti ini memberi dan menerima rasuah.

“Malah dalam keadaan PKR dihina, parti ini masih memberi tiga kerusi kepada MUDA untuk ditandingi namun ditolak oleh parti itu dan melanggar kerusi DUN Larkin yang ditandingi PKR,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan lebih baik kerjasama itu dijalin di luar PH.

“Jika DAP dan AMANAH ingin berkerjasama dengan MUDA, teruskan. DAP dan AMANAH boleh serahkan kerusi mereka kepada MUDA selepas rundingan agihan kerusi selesai antara parti komponen PH.

“Namun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) juga boleh jadi sebagai kayu ukur keikhlasan MUDA untuk bersama PH.

“Kita tidak ingin sejarah berulang apabila kita dihina dan mereka meletakkan calon di kerusi yang kita tandingi.

“Saya juga ingin mempersoalkan kenyataan Pengerusi MUDA Sabah, Amos Thien yang masih mengharap kerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) ketika MUDA merayu untuk bersama PH.

“PH merupakan pakatan yang bermaruah. Saya tidak rasa PH akan menjalinkan kerjasama dengan WARISAN yang jelas telah mengisytiharkan perang terhadap PH. Malah keputusan WARISAN memutuskan hubungan dengan PH diumum dalam Mesyuarat Agung Tahunan WARISAN baru-baru ini.

“MUDA perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang. Malah status MUDA dengan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sehingga hari ini masih belum ada noktah dari MUDA,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|