Rumah roboh, tiga sekeluarga dipindahkan

Rumah roboh, tiga sekeluarga dipindahkan

Kudat: Tiga sekeluarga diselamatkan selepas rumah mereka di Kampung Pantai Bahagia, di sini, roboh dipercayai akibat cuaca buruk yang melanda daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, rumah atas air jenis tidak kekal itu dilaporkan musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.41 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“PGO Sabah terima panggilan kecemasan berlaku rumah roboh melibatkan sebuah rumah kediaman atas air jenis tidak kekal yang musnah.

“Terdapat tiga mangsa iaitu seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan selamat dipindahkan ke rumah saudara,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.28 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|