PRU15: SESB beri jaminan bekalan elektrik stabil sepanjang PRU

PRU15: SESB beri jaminan bekalan elektrik stabil sepanjang PRU

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) siap siaga memastikan bekalan elektrik di Sabah dan Labuan sentiasa stabil sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata SESB sudah membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di 26 Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berada dalam keadaan baik.

“SESB sudah melakukan persiapan awal dalam usaha memastikan aspek teknikal, operasi dan tunggu sedia bekalan elektrik di semua lokasi terbabit sentiasa terjamin sepanjang musim pilihan raya ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, SESB juga mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sabah bagi membincangkan persediaan PRU15 dan memaklumkan langkah yang diambil SESB untuk memastikan pepasangan syarikat itu sentiasa dalam keadaan baik.

Katanya, SESB juga bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pendawaian dalaman dewan di bawah bidang kuasa JKR yang merangkumi pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi dalam keadaan teratur dan stabil.

Selain itu, beliau berkata SESB juga akan membuat pemeriksaan keselamatan dengan meningkatkan aktiviti rondaan anggota polis bantuan SESB dan mengaktifkan bilik gerakan di Ibu Pejabat dan semua Pejabat Kawasan SESB seluruh Sabah serta Labuan.

“SESB juga akan menyediakan pasukan tunggu sedia di semua lokasi dan genset bergerak (mobile genset) di kawasan yang kritikal,” katanya.

Pada masa sama, katanya SESB juga akan berkolaborasi bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) atau pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), syarikat telekomunikasi dan agensi lain yang berkaitan bagi menghentikan sementara kerja yang membabitkan pengorekan tanah berhampiran pepasangan SESB.

Langkah itu, katanya bagi mengelak kejadian terkorek kabel SESB berikutan kerja dijalankan pihak kontraktor, khususnya sepanjang tempoh bermula 5 November sehingga 19 November ini.

“Ini bagi memastikan bekalan elektrik sentiasa berterusan.

“Bilik gerakan SESB pula akan dibuka pada Hari Penamaan Calon (5 November 2022) dan Hari Pembuangan Undi serta Penjumlahan Rasmi Undi (19 November 2022) bagi memastikan komunikasi di antara SESB dan pihak tertentu dapat diurus secara lebih berkesan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata semua kerja terjadual yang dirancang awal dan yang membabitkan penutupan berjadual bekalan elektrik akan ditangguhkan kecuali penutupan bekalan yang membabitkan kerja-kerja kecemasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|