PRU15: Madius sedia lawan Maximus di Tuaran

PRU15: Madius sedia lawan Maximus di Tuaran

Kota Kinabalu: Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau berkata, beliau bersedia berdepan sesiapa saja yang ingin mencabarnya di kerusi Parlimen Tuaran, termasuk Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Madius yang menyandang kerusi Tuaran selama empat penggal, berkata beliau tidak gentar berdepan dengan nama besar seperti Maximus kerana sudah biasa berdepan pemimpin yang menentangnya di Tuaran termasuk Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

“Tuaran ini bukan saja ada kerusi Ketua Menteri tetapi juga Menteri Kewangan negeri, Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Pembantu Menteri Kewangan negeri dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri.

“Kalau sahabat kita, Presiden PBS mahu datang, sebagai satu sistem demokrasi, kita bersedia menghadapi sesiapa saja pencabar,” katanya pada sidang media pengumuman calon UPKO, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berpindah kerusi ke Parlimen Tuaran.

Langkah itu dilihat sebagai antara usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merampas kerusi Parlimen Tuaran daripada Madius yang kini mewakili blok pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Kerusi Parlimen Tuaran dimenangi Madius atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018 dan tiga piluhan raya terdahulu.

Bagaimanapun, kedudukan itu berubah berikutan tindakannya membawa UPKO keluar BN untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) dan PH pada ketika itu.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|