PRU15: PCS hampir pasti bertanding di Kimanis

PRU15: PCS hampir pasti bertanding di Kimanis

Kota Kinabalu: Parti Cinta Sabah (PCS) membayangkan akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di kerusi Parlimen Kimanis yang sebelum ini pernah disandang Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman.

Menerusi satu kenyataan media, hari ini, Timbalan Presiden PCS, Datuk Ansari Abdullah, berkata langkah parti itu mengambil kira apa yang pernah dijanjikan di hadapan rakyat Kimanis pada PRU14 dan Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) 2020.

Katanya, sudah berulang kali rakyat Sabah dijanjikan pengembalian semula hak 100 peratus seperti yang termaktub dalam Laporan IGC 1962 dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) namun apabila berkuasa perkara itu tidak pernah berlaku.

“Pelbagai pihak berjanji manis di hadapan rakyat Kimanis pada PRU14 dan PRN 2020, yang dijanjikan tidak pernah dilaksanakan.

“Sedihnya rakyat Sabah apabila janji hanya tinggal janji dan rakyat Sabah masih menunggu segala yang termaktub untuk dilaksanakan di Sabah sehingga hari ini.

“Oleh itu, atas desakan serta permintaan rakyat Sabah khususnya Kimanis, saya boleh jamin bahawa PCS hampir pasti bertanding di Parlimen Kimanis pada PRU15 ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut siapa calon yang akan diletakkan PCS di Kimanis, sama ada Anifah yang pernah menyandang kerusi berkenaan dari 2004 hingga 2019 atau orang lain.

Ansari berkata, tujuan PCS bukan untuk merebut jawatan atau ganjaran kerana apa yang penting bagi parti itu adalah mendapatkan hak rakyat Sabah seperti apa yang termaktub secara keseluruhannya dalam MA63 dan Laporan IGC 1962.

Jelasnya, PCS mendapat pelbagai tawaran daripada pelbagai pihak namun hanya bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti atau individu yang boleh membantu mencapai matlamat PCS dan bukan hanya berjanji kosong.

“Kami rakyat Sabah sudah penat dijanji dan dipermainkan. Terlalu lama kekayaan bumi Sabah diambil dan tidak diberikan kembali demi kepentingan anak-anak jati Sabah.

“Anak-anak Sabah masih bergelut mencari pekerjaan dan rezeki di bumi sendiri, seolah-olah pendatang di negeri dan negara sendiri.

“Mungkin sudah tiba masanya rakyat Sabah berubah arah ke pakatan baharu demi kepentingan dan hak rakyat Sabah.

“Jika PBRS dan STAR yang masing-masing mempunyai satu kerusi sahaja boleh bersuara kenapa tidak PCS?,” soalnya.

Beliau berkata PCS kekal utuh dengan perjuangan untuk menegak dan mengembalikan hak rakyat Sabah.

Tegasnya, cukuplah rakyat Sabah dipermainkan dan dijanji berpuluh tahun tanpa pelaksaan serta komitmen sepenuhnya dan cukuplah rakyat Sabah dilayan seolah-olah pengemis di bumi sendiri.

Pada Program Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) di Kimanis baru-baru ini, Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dinamakan semula sebagai calon BN pada PRU15, berkata Anifah ada memaklumkan yang bekas Menteri Luar itu menyokongnya bertanding di Kimanis.

Kenyataan itu membawa erti bahawa Anifah tidak akan bertanding semula di kerusi berkenaan, namun kenyataan terbaharu PCS hari ini, menimbulkan persoalan baharu.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|