Kota Kinabalu: Taktik menggunakan rumah kampung sebagai tempat menyembunyikan barang seludup gagal, apabila tiga lori jenis tiga tan yang berisi minuman keras berjaya dirampas, 24 Ogos lalu.
Dalam operasi jam 8 malam itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM619,299.84 termasuk cukai.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, kejayaan itu hasil serbuan Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu JKDM Sabah dan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Tamparuli Togop.
Katanya, hasil serbuan mendapati, tiga lori jenis tiga tan yang menyimpan keseluruhan 31,775.04 liter diletakkan di perkarangan rumah kampung berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua minuman keras pelbagai jenama itu disyaki bernilai RM123,450 manakala anggaran duti dan cukai yang terbabit adalah sebanyak RM495,849.

“ketika serbuan dibuat, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana rumah dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni,” katanya pada sidang media di bahagian Penguatkuasan JKDM, di sini, hari ini.
Yu Min berkata, pasukan serbuan terpaksa memecah masuk rumah untuk melakukan pemeriksaan lanjut sebelum semua ketiga-tiga lori berkenaan dirampas dan dibawa balik untuk siasatan lanjut.
Katanya, JKDM Sabah amat komited dalam usaha menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Yu Min berkata, masyarakat digesa supaya membantu pihak JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan khususnya membabitkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti penyeludupan yang bukan saja merugikan hasil negara tetapi juga mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.
“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.
-Deasoka