RM3.50 harga makanan kafe kediaman UMS mulai esok

RM3.50 harga makanan kafe kediaman UMS mulai esok

Kota Kinabalu: Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) akanmenikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50 bermula esok.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin, berkata ia sejajar saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

Katanya, pihak pengurusan UMS sebelum ini mengadakan perbincangan dengan pengusaha kafeteria di kolej kediaman UMS dan sudah mendapat persetujuan agar setiap pengusaha menyediakan menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.

“Walaupun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkompromi berhubung isu penyediaan menu makanan yang berkualiti dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menerusi usaha pengurusan universiti itu, katanya ia diharap dapat membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkatan kos sara hidup, terutama dalam kelompok B40.

Katanya, ketika ini seramai 13,179 pelajar B40 sedang mengikuti pengajian di UMS, masing-masing 4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan.

Sementara itu, katanya UMS turut memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha kafeteria bermula bulan ini bagi membantu mereka menangani isu kenaikan harga barangan yang memberi kesan kepada harga makanan semasa.

“Langkah ini membolehkan tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar di kampus,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin memberi jaminan program Food Bank Siswa UMS yang diperkenalkan sejak 2019 di bawah inisiatif #UMSPeduli akan diteruskan.

Terbaru, katanya Pusat Islam UMS melancarkan ‘Dapur Rahmah’ bagi menggalakkan aktiviti gotong-royong dalam penyediaan jamuan untuk majlis atau program rasmi universiti.

“Inisiatif Food Bank Siswa ini tidak terhad kepada pelajar dalam kampus sahaja, malah UMS juga ambil peduli terhadap beban ditanggung oleh pelajar yang tinggal di luar kampus.

“Untuk itu, Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) juga mewujudkan Food Bank untuk pelajar Non Residen berdekatan dengan pejabat PNRF di Anjung Siswa, UMS,” katanya.

Taufiq turut berharap orang ramai khususnya syarikat korporat dan agensi luar untuk bersama-sama menyokong serta mengembangkan program Food Bank untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|