RM19.8 bilion cadangan pelaburan di SOGIP

RM19.8 bilion cadangan pelaburan di SOGIP

Kota Kinabalu: Sabah merekodkan cadangan pelaburan bernilai RM19.8 bilion menerusi enam projek berkaitan minyak dan gas serta perkhidmatan sokongan industri di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Jumlah pelaburan itu didedahkan pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dan penyewaan di antara Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC), sebuah agensi kerajaan negeri dengan syarikat yang terbabit, di sini, semalam.

MoU itu yang diadakan sempena sambutan setahun pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) disaksikan sendiri oleh Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Hajiji Noor.

SOGDC diberi tanggungjawab untuk membangun, mengurus dan memasarkan SOGIP berkeluasan 1,645 hektar yang terletak di daerah Sipitang, di selatan Sabah, tidak jauh dari sempadan Sabah – Sarawak.

Berdasarkan MoU berkenaan, pelaburan tertinggi dicatat bagi melaksanakan projek Loji Penapisan dan Penyimpanan Minyak Petroleum bernilai RM6 bilion yang bakal dilaksanakan Petroventure Energy Sdn Bhd (PESB).

Ia kemudian diikuti projek Fasiliti Pengegasan dan Pembekalan Gas dari Indonesia dengan nilai pelaburan RM5 bilion oleh SISMA Energy, sebuah syarikat pembekal gas asli untuk pasaran petrokimia domestik, termasuk loji janakuasa.

Syarikat berkenaan akan mendapat bekalan gas asli daripada Globaltec Formation Bhd (GFB), sebuah syarikat yang terbabit dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas serta perniagaan perkhidmatan yang memfokuskan telaga minyak dan gas bukan konvensional.

Turut dimeterai ialah MoU bagi melaksanakan projek Loji Diesel Hijau dengan nilai RM4 bilion oleh Shanxi Construction Investment Group (SCIG), sebuah syarikat kumpulan pelaburan dan pembinaan komprehensif yang terbesar di Wilayah Shanxi, China.

SCIG dan SOGDC bercadang bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan sebuah institut penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mendapatkan kepakaran
teknikal kebolehlaksanaan projek yang kemudiannya akan menjadi cadangan untuk dikemukakan di bawah MoU SHANXI-SOGDC.

Perjanjian seterusnya berkaitan pelaburan untuk membangunkan Loji Logam Silikon bernilai RM2 bilion oleh PMB Silicon, sebuah syarikat awam berhad yang berminat untuk membina Loji Logam Silikon keduanya di SOGIP dan menjadikan Sabah sebagai pengeluar silikon utama di dunia.

Selain itu, turut ditandatangani ialah projek pelaburan Loji Hidrogen-Ammonia yang juga bernilai RM2 bilion oleh sebuah syarikat dari Korea yang akan bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi melaksanakan cadangan Projek Pembangunan Lestari Dalam Sektor Ekonomi Hidrogen (Ammonia) di SOGIP.

Akhir sekali ialah MoU berkaitan pembinaan loji janakuasa bebas (IPP) di SOGIP dengan nilai pelaburan RM800 juta yang akan dilaksanakan ADSI Engineering, sebuah syarikat tempatan yang mengkhusus dalam kejuruteraan, pembangunan berjadual atau pek kerja, perolehan, fabrikasi struktur serta paip, pemasangan elektrik dan instrumentasi serta aktiviti pratauliah dan pentauliahan.

Syarikat berkenaan berminat untuk membangunkan Loji Janakuasa Gas 200MW untuk SOGIP secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|