Kegiatan penjualan makanan eksotik penyu dipatahkan

Kegiatan penjualan makanan eksotik penyu dipatahkan

Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu kegiatan pembunuhan dan penjualan organ penyu dengan penahanan seorang lelaki di Kampung Bangau-Bangau, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 10 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun terbabit ditahan selepas didapati menyimpan sejumlah organ penyu di dalam ruangan perahu miliknya.

Sejumlah organ penyu ditemui disimpan di dalam bot dipercayai untuk pasaran gelap makanan eksotik.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, berdasarkan maklumat siasatan, pasukan operasi PPM membuat pemeriksaan terhadap sebuah perahu yang bertambat di sebuah rumah di kampung berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui sejumlah organ penyu yang dipotong-potong dipercayai untuk pasaran gelap makanan eksotik.

“Pasukan operasi terus menahan suspek dan dibawa balik bersama barangan rampasan ke markas PPM Semporna.

“Kes turut dirujuk ke Jabatan Perhilitan untuk disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hasil hidupan liar tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, berdasarkan pernilaian, pihak percaya semua rampasan dianggarkan berjumlah RM11,565.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|