55 kilogram disyaki ikan bom dirampas di Pasar Malam Sinsuran, Todak

55 kilogram disyaki ikan bom dirampas di Pasar Malam Sinsuran, Todak

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Perikanan menjalankan Operasi Inter Agensi yang bertujuan mengesan dan membanteras penjualan ikan yang ditangkap menggunakan kaedah bahan letupan, semalam.

Operasi bermula jam 8 malam itu, dijalankan di Pasar Malam Sinsuran dan Pasar Malam Todak yang terletak dekat tebingan laut Segama.


Anggota PPM dan kakitangan Jabatan Perikanan menjalankan operasi kekang penjualan ikan bom di pasar malam Sinsuran dan Todak.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, hasil operasi itu merampas kira-kira 55 kilogram ikan pelbagai jenis disyaki ditangkap dengan menggunakan kaedah bahan letupan.

“Rampas kemudian dibawa ke Pejabat PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM790,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Roslan berkata, objektif operasi ini adalah untuk mengesan dan membanteras penjualan ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Siasatan dijalankan pegawai penyiasat Jabatan Perikanan mengikut Seksyen Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat maritim dan pesisir pantai disaran untuk menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 0139391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|