Pusat IKS platform usahawan tempatan pasar produk di Semenanjung

Pusat IKS platform usahawan tempatan pasar produk di Semenanjung

Kota Kinabalu: Pembukaan Pusat IKS di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah (MID), di Kuala Lumpur bakal memudahkan usahawan kecil dan sederhana tempatan dalam memasarkan produk mereka di Semenanjung.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam menyeru kepada para usahawan tempatan untuk memanfaatkan sepenuhnya fasiliti yang disediakan.

Dr Joachim (enam kiri) pada upacara memotong riben sempena pelancaran Pesta Kopi Antarabangsa, di Kota Kinabalu.

Menurutnya, ia boleh digunakan sebagai platform dalam mempromosikan dan menjual produk mereka, sama ada secara fizikal, interaksi mahupun e-dagang.

“Ia merangkumi semua pihak, dari penanam kopi ke vendor kopi yang juga harus menikmati kemakmuran ekonomi melalui perniagaan kopi,” katanya ketika merasmikan pelancaran Pesta Kopi Antarabangsa, di Suria Sabah, hari ini.

Joachim berkata, penganjuran pesta itu mendapat sokongan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri menerusi MID dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Shopee yang turut hadir dan berharap agar mereka dapat membantu usahawan-usahawan dalam menjual produk mereka melalui e-platform.

“Saya berharap dengan pelanjutan pesta ini sehingga satu bulan akan menjadikan ia acara perdana di negeri ini dan membantu merancakkan pelaburan antara bangsa, selain meningkatkan aktiviti pelancongan.

“Selain itu, saya berharap agar para peserta akan mendapat manfaat daripada pesta ini, dari segi jualan, pendedahan dan kesedaran.

“Hal ini kerana, Pembangunan Ekonomi Dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Shopee dan pelbagai agensi lain turut mengambil bahagian dalam acara ini untuk berkongsi pengetahuan dan membantu dalam memasarkan produk tempatan kepada dunia.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada pengajur kerana telah berjaya mengadakan acara ini untuk kali kelima, dan menambah Zon Karnival untuk para usahawan.

Untuk rekod, seramai 47 usahawan dari seluruh Sabah telah mengambil bahagian dalam acara itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|