PRU15: Shahelmey, keluarga selesai membuang undi di SMK Putatan

PRU15: Shahelmey, keluarga selesai membuang undi di SMK Putatan

Putatan: Calon Barisan Nasional (BN) Putatan, Datuk Shahelmey Yahya selesai membuang undi di SMK Putatan, sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pagi ini.

Beliau tiba di pusat pembuangan undi pada sekitar jam 8.38 pagi bersama isteri, Datin Dg Siti Noor Hayyat serta anak perempuan mereka, Hasya Bazilah Shahelmey, yang juga merupakan pengundi baharu.

Shahelmey membuang undi di SMK Putatan, sempena PRU15.

“Suasana pada pagi ini, saya lihat ramai pengundi mendengar pesanan dan nasihat kita untuk keluar mengundi awal disebabkan keadaan cuaca yang diramalkan hujan pada sebelah petang.

“Alhamdullilah pada pagi ini cuaca redup-redup memudahkan pengundi untuk keluar mengundi,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan tanggunjawab mengundi di SMK Putatan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyeru kepada orang ramai yang akan turun mengundi untuk merancang sebaiknya perjalanan.

“Saya harap pengundi-pengundi yang belum keluar mengundi, keluarlah mengundi sebelum Pusat Mengundi ditutup pada jam 5 petang nanti.

“Semoga boleh menunaikan tanggungjawab dengan membuat pilihan yang tepat dan bijak untuk kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya lagi.

Terdahulu, dalam tinjauan Deasoka.com di pusat pengundian itu, orang ramai sudah mula berbaris seawal jam 7 pagi sebelum ia dibuka secara rasmi pada jam 7.30 pagi.

Untuk rekod, Parlimen P.173 Putatan menyaksikan perlawanan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Shahelmey Yahya; calon Pakatan Harapan – Parti Keadilan Rakyat (PH-PKR), Awang Husaini Sahari; Warisan, Ahmad Mohd Said dan calon Gerakan Tanah Air (GTA) – Pejuang, Poyne B Tudus @ Patrick Payne.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|